.::sami yusuf::.


Music Playlist
.::KASIH SEORANG INSAN::. 5:30 AM




FEBRUARI 199.. Lahirlah aku ke dunia ini. Setelah sembilan bulan mak mengandungkan aku, akhirnya aku memijak di bumi ini. Aku ditatang bagai minyak yang penuh oleh kedua-dua ibu dan bapaku. Lagipun, aku merupakan puteri sulung dalam keluargaku. Sudah semestinya kelahiranku amat diraikan.



Aku masih ingat, ketika aku masih kecil, aku suka bergambar. Aku akan terus berdiri tanpa berganjak sehingga ayahku merakam fotoku. Jika tidak, aku akan merajuk sepanjang hari. Aku amat bertuah kerana mak dan abah tidak pernah lupa mengadakan sambutan menyambut tahun kelahiranku setiap tahun. Pening jugak mereka melayan kerenahku yang selalu menginginkan pelbagai jenis koleksi anak-anak patung. 




Abahku akan mengadakan beberapa jenis pertandingan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan tersebut. Ditambah pula hidangan makanan yang disediakan sendiri oleh ibuku yang sememangnya pakar di dapur. Segalanya amat sempurna!



Dalam menjalani kehidupan dalam sebuah keluarga yang hanya mempunyai bilangan ahli keluarga yang kecil, hubungan aku dan keluarga amat rapat. Aku boleh diibaratkan sebagai seorang anak yang manja. Ayahku seorang yang amat kelakar walaupun dari segi fizikalnya amat berlawanan sekali. Ibuku pula seorang yang agak garang tetapi penyayang orangnnya.




Pernah suatu ketika, aku hanya ditemani oleh ibu. Aku sedang menonton rancangan yang berbentuk drama dari kaca televisyen. Drama tersebut menceritakan tentang seorang anak yang kehilangan ibunya. Aku terus memeluk ibuku dan bertanyakan bahawa adakah ibuku akan meninggalkanku jua suatu hari nanti. Ibuku menjawab bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggalkan dunia ini juga suatu hari nanti. Air mataku tidak dapat terus bertakung. 




MAC 200.. Suatu hari, aku dikejutkan bahawa ibuku dimasukkan ke hospital ketika aku pulang dari sekolah. Susah untukku terangkan bagaimanakah perasaanku ketika itu. 




Setibanya aku di hospital bersama adikku serta ahli keluargaku yang lain, ayahku segera memelukku dan adikku. Perasaanku berasa amat takut untuk mendengar tentang khabar ibuku. Aku tidak dapat melawat ibuku pada malam tersebut tetapi melihat keadaan ayahku, aku berasa takut untuk menduga.



Kira-kira pada pukul 5.00 pagi, aku mendapat panggilan menjemputku ke hospital dengan segera. Ketibaanku di hospital disambut dengan tangisan daripada nenekku serta ahli keluargaku yang lain. Pada pagi itulah, aku dapat melihat ibu. 




Hati anak manakah yang tidak terusik melihat ibunya sedang terbaring lemah tanpa sedarkan diri?? Dengan ditemani oleh salah seorang ibu saudaraku, aku dibawa melihat ibu. Keadaan ibu yang dikelilingi oleh pelbagai jenis wayar amat menyayat hati. Aku melangkah lemah dan mencium kaki ibu. Air mataku mengalir tanpa dapat kutahan lagi.. 




Sudah menjadi rutin harianku untuk melawat ibu pada setiap hari. Aku melihat abah tidak lekang berada disisi ibu. Aku tahu bahawa abah turut bersedih melihat keadaan ibu tetapi dia tidak pernah menunjukkan kesedihannya di hadapanku dan adikku agar kami tidak terus menangis.





Kadang-kala, aku berasa berat hati untuk melawat ibu. Bukan kerana bosan mahupun letih, tetapi aku tidak sanggup melihat ibu terlantar di atas katil dengan tidak sedarkan diri.. Keadaan ibu tidak pernah kukongsikan kepada sesiapa kecuali beberapa orang teman rapatku setelah mereka menyedari akan ketidak hadiranku di sekolah.





Sebenarnya, aku lebih lebih suka berkongsi kegembiran bersama-sama mereka tetapi bukan kesedihanku. Tetapi, aku berasa terharu dengan keprihatinan mereka setelah dikhabarkan tentang ibu. Dorongan yang tidak putus-putus kuterima daripada mereka amat memberi kekuatan kepada diriku.. 





APRIL 200.. Hari demi hari berlalu sehingga pada suatu hari, aku mendapat panggilan daripada ayahku agar segera ke hospital kerana keadaan ibuku semakin tenat. Hati diulit rasa resah dan ingin segera tiba di hospital. Bagiku, perjalanan ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada hari tersebut merupakan perjalanan yang paling lama memakan masa bagiku.





Disepanjang perjalanan juga, ayahku menelefonku memberitahu bahawa ibuku dalam semakin tenat dan pernafasan ibu semakin lemah. Aku tahu, ketika itu ayah sebenarnya ingin memberitahuku supaya tabah dan bersedia kerana ibu akan meninggalkanku buat selama-lamanya..





Walaupun aku ditenteramkan oleh ibu saudaraku, tetapi air mataku tetap mengalir dengan lajunya.. Tiada apa lagi yang berada dalam kotak fikiranku ketika itu kecuali ibu.




Akhirnya aku tiba di hospital. Tetapi, malangnya ibu telah pergi menghadap Ilahi sebelum sempat kumenemuinya. Tidak dapat kugambarkan perasaanku ketika itu. Rasanya seperti duniaku telah menjadi sunyi dan gelap gelita..










Kini, 2009 Aku menjadi seorang insan yang semakin tabah mengaharungi liku-liku hidup bersama mereka yang masih menyayangi diriku dan sentiasa bersamaku. Aku percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Bukan simpati atau belas kasihan yang kuinginkan, tetapi aku hanya ingin berkongsi pengalaman hidupku ini bersama semua.





Sayangilah ibu dan bapa anda. Sesungguhnya, syurga adalah dibawah tapak kaki ibu dan tiada siapa yang dapat mengganti tempat mereka. Bagi mereka yang telah melaluinya, jadilah anak yang soleh dan solehah serta sentiasa mendoakan mereka yag telah tiada. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman..
 




0 comments:

Post a Comment