.::sami yusuf::.


Music Playlist
berlian dan kita... 5:39 AM



Saya bukanlah pakar kaji batu bahkan tidak belajar secara khusus dalam mengenali batu-batuan namun, hanya ingin berkongsi maklumat di samping berusaha menguatkan diri sendiri. Pada mulanya, saya hanya mahu menukilkan ayat ini;



Batu yang keras jika air berterusan menitik di atasnya, kelak batu itu akan berlekuk juga. Namun, kerak bumi yang lebih dalam dan keras perlu digerudi menggunakan intan, mineral yang paling mahal dan keras (10 skala mohs). 



Ayat ini, hasil debat dengan seorang pemuda. 

Nasihat boleh diumpamakan seumpama air dingin yang jatuh setitik demi setitk, namun ia juga boleh menjadi sekeras berlian sekiranya kita mahu menggerudi kerak bumi. Dalam Al-Quran, Allah juga menggunakan pendekatan ayat yang memujuk, dan juga menggunakan ayat menempelak. 

Di mana contoh ayat menempelak? 



Surah Al-Masad. 

"Binasalah kedua-dua belah tangan Abu Lahab, dan benar-benar binasalah dia" 



Saya merasakan ada baiknya jika perkara ini diolah lebih lanjut. Oleh sebab itulah saya membaca serba sedikit mengenai berlian. Saya juga selalu percaya bahawa berlian itu hanyalah sebiji arang batu yang unggul akibat daripada tekanan. 



Untuk mengetahui jawapan yang sebenar saya terpaksa bertanyakan kepada rakan geologi 
adakah intan dan berlian itu sama. Rakan geolagi saya itu mengatakan mungkin intan dan berlian itu sama. Kebiasaannya masyarakat mengungkapkan perkataan intan berlian.



Arang batu jika tidak tahan dengan tekanan hanyalah digunakan untuk tujuan BBQ Welcoming Party di Australia ataupun satay Kajang Haji Samuri di Malaysia. Namun, jika arang batu ini menerima tekanan yang sesuai, arang batu tersebut akan berubah menjadi berlian. Intan hanya terbentuk melalui kombinasi tekanan dan suhu yang sesuai. Kombinasi ini hanya dijumpai di dua tempat sahaja. Pertama di Cratons dan kedua di litosfera bumi yang terkena hentaman meteorit. 



Ini tidaklah begitu menghairankan kerana tekanan yang diperlukan adalah kira-kira 45-60 kilobars dan suhu 900-1300 darjah celcius. Tidak hairanlah, hanya arang batu yang mampu menerima tekanan dan suhu yang tinggi sahaja yang mampu menjadi permata yang unik dan berharga. Namun, apalah maknanya jika berlian yang berharga itu dibiarkan tinggal terbiar di bawah perut bumi. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang memperoleh manfaat darinya. 



Setinggi mana pun harga berlian itu dan malah jika lebih tinggi dari The Millennium Star dari segi kualitinya, atau lebih susah berbanding Blood Diamond dari segi pengorbanannya, berlian itu tetap tidak akan berguna sekiranya tidak diproses dan dibiarkan terperosok di tempat ia terhasil. 
Begitulah juga dengan kita, jika sudah mampu menerima tekanan, dan sudah bertukar menjadi berlian, apalah maknanya jika tidak turun ke medan perjuangan? 



Tidak bererti perjuangan jika hanya membahagiakan anak dan isteri, bukan juga berfoya-foya sesama sendiri. Tanggungjawab terhadap rakan seagama, bahkan kepada umat manusia berlainan bangsa dan negara sentiasa tergalas di bahu kita. Sudah tentu kita tidak mahu diri kita menjadi arang batu, hanya sebagai bahan bakar yang murah apabila kita berpeluang menjadi mineral yang mahal. 



Turunlah ke medan sama ada menjadi mata gerudi ataupun menghiasi jari-jari manis raja sehari dan atau mungkin di mahkota-mahkota diraja kita bersemadi. Yang pasti, janganlah duduk bersendiri. Ilmu setinggi melangit dan pandangan seluas lautan tidak akan bererti jika hanya dikongsi dengan rakan semineral. Apabila sumber galian ini telah berjaya diketemui lalu diproses, barulah sumber galian yang lain sedar akan hakikat bahawa diri mereka itu perlukan pencerahan dari cahaya intan berlian yang bergemerlapan ini. 



Ayuh para berlian, turun ke medan! 





0 comments:

Post a Comment