.::sami yusuf::.


Music Playlist
mari contohi keimanan mereka... 5:44 AM



Persoalan akidah amat penting dalam kehidupan harian umat Islam walau di mana jua mereka berada. Kedudukan dan pangkat bukan menjadi ukuran, tetapi akidahlah menjadi teras untuk dilihat oleh Allah s.w.t. 







Inilah yang membezakan antara golongan yang beriman dan kafir (menentang) Allah dan Rasul-Nya, tetapi apabila seseorang itu berjaya menguasai diri dengan nilai-nilai iman yang berkualiti di sisi Allah, pasti dia akan menjejaki kejayaan yang maksima. 


Begitulah yang perlu ada kepada umat Islam hari ini, satu mekanisme atau contoh terbaik untuk tujuan itu, sejarah telah membuktikan bagaimana al-Quran, Sunnah Nabawiyah dan sirahnya yang berjaya mencungkil individu-individu atau kelompok manusia yang beriman hingga tahap yang cukup tinggi, hingga tidak takut kepada makhluk walaupun bertindak kejam terhadap mereka. 



Ashabul Ukhdud (orang-orang yang dicampakkan dalam parit api yang bernyala-nyala), merupakan generasi manusia yang hanya beberapa saat menerima Islam sebagai pegangan hidup hingga ke akhir hayat, namun mereka diuji sama ada mahu meninggalkan agama Islam yang dipegangnya ataupun ingin selamat daripada seksaan dengan menyembah raja yang zalim. 


Akhirnya mereka tetap memilih Islam yang bertuhankan Allah dan terus dicampakkan dalam parit, tidak kira orang tua, wanita, kanak-kanak, mahupun bayi yang baru dilahirkan. 



Begitu juga sikap kental golongan Ashabul Kahfi, di mana kisah mereka dirakamkan Allah dalam surah Al-Kahfi, jelas mangajak seluruh umat Islam agar berakidah seperti mereka, yang hanya takut kepada Allah. 


Ia merupakan satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi oleh segenap individu muslim hari ini, yang meletakkan Islam sebagai agama yang terbaik antara agama-agama yang ada di dunia. 



Tidak kurang juga kisah penderitaan yang dialami oleh keluarga Yasir di zaman baginda Rasulullah s.a.w., isterinya Sumaiyah (wanita pertama syahid sebelum hijrah) dan anaknya, Ammar, di mana Yasir dan Sumaiyah hanya beberapa hari memeluk Islam di tangan anaknya di kalangan hamba sahaya, mereka diuji dengan pelbagai tindakan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy bagi memastikan mereka meninggalkan agama Islam yang menjadi pilihan terakhir mereka. 



Tapi apakah sebenar hubungan peristiwa berkenaan di atas dengan agenda umat Islam hari ini? Ia tidak lain, agar mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk melonjakkan diri menjadi insan-insan yang dinaikkan taraf di sisi Allah s.w.t. 


Mengapa tidak, kalau kisah di atas menceritakan bagaiamana mereka yang hanya beberapa saat, hari menerima Islam tetapi tetap berpegang teguh tanpa rasa ragu dan goyah, bagaimana pula dengan kita hari ini. 



Tanyalah diri sendiri, adakah kita baru seminggu memeluk agama Islam, atau baru sebulan, malah kebanyakan daripada kita berpuluh-puluh tahun menjadi orang Islam, tetapi mengapa masih ramai yang tidak percaya kepada undang-undang Islam dengan memilih fahaman-fahaman ciptaan manusia yang serba kekurangan dalam segenap hal. 



Tidakkah kita rasa malu dengan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah serta menghirup udara segar pemberian-Nya sedangkan kita tidak sama dengan mereka yang terdahulu daripada kita seperti yang telah ditegaskan di atas. 







Marilah kita sama-sama menginsafi dan sering melakukan muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah di mahkamah-Nya pada hari Kiamat, di mana pada hari itu tidak ada naungan melainkan naungan Allah di waktu matahari yang panas terik berada hanya sejengkal di atas kepala, yang boleh menolong ita pada hari itu ialah Nabi Muhammad s.a.w itupun berdasarkan amalan, kepercayaan, pegangan yang betul kepada agama Islam. 



berlian dan kita... 5:39 AM



Saya bukanlah pakar kaji batu bahkan tidak belajar secara khusus dalam mengenali batu-batuan namun, hanya ingin berkongsi maklumat di samping berusaha menguatkan diri sendiri. Pada mulanya, saya hanya mahu menukilkan ayat ini;



Batu yang keras jika air berterusan menitik di atasnya, kelak batu itu akan berlekuk juga. Namun, kerak bumi yang lebih dalam dan keras perlu digerudi menggunakan intan, mineral yang paling mahal dan keras (10 skala mohs). 



Ayat ini, hasil debat dengan seorang pemuda. 

Nasihat boleh diumpamakan seumpama air dingin yang jatuh setitik demi setitk, namun ia juga boleh menjadi sekeras berlian sekiranya kita mahu menggerudi kerak bumi. Dalam Al-Quran, Allah juga menggunakan pendekatan ayat yang memujuk, dan juga menggunakan ayat menempelak. 

Di mana contoh ayat menempelak? 



Surah Al-Masad. 

"Binasalah kedua-dua belah tangan Abu Lahab, dan benar-benar binasalah dia" 



Saya merasakan ada baiknya jika perkara ini diolah lebih lanjut. Oleh sebab itulah saya membaca serba sedikit mengenai berlian. Saya juga selalu percaya bahawa berlian itu hanyalah sebiji arang batu yang unggul akibat daripada tekanan. 



Untuk mengetahui jawapan yang sebenar saya terpaksa bertanyakan kepada rakan geologi 
adakah intan dan berlian itu sama. Rakan geolagi saya itu mengatakan mungkin intan dan berlian itu sama. Kebiasaannya masyarakat mengungkapkan perkataan intan berlian.



Arang batu jika tidak tahan dengan tekanan hanyalah digunakan untuk tujuan BBQ Welcoming Party di Australia ataupun satay Kajang Haji Samuri di Malaysia. Namun, jika arang batu ini menerima tekanan yang sesuai, arang batu tersebut akan berubah menjadi berlian. Intan hanya terbentuk melalui kombinasi tekanan dan suhu yang sesuai. Kombinasi ini hanya dijumpai di dua tempat sahaja. Pertama di Cratons dan kedua di litosfera bumi yang terkena hentaman meteorit. 



Ini tidaklah begitu menghairankan kerana tekanan yang diperlukan adalah kira-kira 45-60 kilobars dan suhu 900-1300 darjah celcius. Tidak hairanlah, hanya arang batu yang mampu menerima tekanan dan suhu yang tinggi sahaja yang mampu menjadi permata yang unik dan berharga. Namun, apalah maknanya jika berlian yang berharga itu dibiarkan tinggal terbiar di bawah perut bumi. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang memperoleh manfaat darinya. 



Setinggi mana pun harga berlian itu dan malah jika lebih tinggi dari The Millennium Star dari segi kualitinya, atau lebih susah berbanding Blood Diamond dari segi pengorbanannya, berlian itu tetap tidak akan berguna sekiranya tidak diproses dan dibiarkan terperosok di tempat ia terhasil. 
Begitulah juga dengan kita, jika sudah mampu menerima tekanan, dan sudah bertukar menjadi berlian, apalah maknanya jika tidak turun ke medan perjuangan? 



Tidak bererti perjuangan jika hanya membahagiakan anak dan isteri, bukan juga berfoya-foya sesama sendiri. Tanggungjawab terhadap rakan seagama, bahkan kepada umat manusia berlainan bangsa dan negara sentiasa tergalas di bahu kita. Sudah tentu kita tidak mahu diri kita menjadi arang batu, hanya sebagai bahan bakar yang murah apabila kita berpeluang menjadi mineral yang mahal. 



Turunlah ke medan sama ada menjadi mata gerudi ataupun menghiasi jari-jari manis raja sehari dan atau mungkin di mahkota-mahkota diraja kita bersemadi. Yang pasti, janganlah duduk bersendiri. Ilmu setinggi melangit dan pandangan seluas lautan tidak akan bererti jika hanya dikongsi dengan rakan semineral. Apabila sumber galian ini telah berjaya diketemui lalu diproses, barulah sumber galian yang lain sedar akan hakikat bahawa diri mereka itu perlukan pencerahan dari cahaya intan berlian yang bergemerlapan ini. 



Ayuh para berlian, turun ke medan! 





nerakakah tempatku?! 5:38 AM

KENAPA KEBANYAKAN PENGHUNI NERAKA ADALAH WANITA?!

 

Hadis berkenaan tajuk di atas sedia diketahui umum. Bahkan di masjid, surau dan musolla sering diberi peringatan tentang hadis-hadis berhubung dengan ancaman-ancaman terhadap wanita yang telah diwasiatkan oleh Rasululllah saw 14 abad yang lalu. 

 

Apa yang kita cuba ketengahkan di sini ialah sejauh mana kesedaran kaum wanita terhadap pesanan, wasiat dan ancaman ini. 

 

Adakah ancaman dan amaran Rasulullah ini ditujukan kepada wanita-wanita yang tidak beriman? 

 

Adakah ancaman ini ditujukan kepada wanita-wanita yang tidak bersolat, tidak berpuasa dan tidak bersedekah? 

 

Jika diteliti, hampir kesemua hadis berkenaan adalah ditujukan secara khusus oleh Rasulullah saw kepada para wanita Islam kerana wanita-wanita kafir yang mati dalam keadaan kafir, tempat kembalinya adalah neraka kecuali jika dikehendaki Allah sebaliknya. 

 

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Memenuhi janji-Nya! 

 

Sabda Rasulullah saw : 

 

" Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: " Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir? " Baginda menjawab : " Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya." (Muslim) 


 

Sabda Rasulullah saw : 

 

" Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah saw ditanya: " Mengapa demikian ya Rasulullah? " Baginda menjawab: " Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup." (Riwayat al-Bukhari) 

 

Sabda Rasulullah saw : 

 

" Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali. " (Thabarani di dalam al-Awsat)

 

Petunjuk Rasulullah saw dalam hadis-hadis ini dan juga banyak hadis lain sangat jelas mengaitkan sebab-sebab wanita dihumban ke dalam neraka. Iaitu kerana derhaka kepada suami. Kebanyakan wanita Islam yang menunaikan solat dan tanggungjawab lain di dalam agama gagal memerhatikan petunjuk utama Rasulullah saw ini. Mereka tahu ancaman tersebut secara nyata tetapi suasana kehidupan moden yang penuh dengan cabaran dan mengejar impian kerjaya membuatkan mereka diselubungi kegelapan. Seringkali mereka tersungkur di hadapan keindahan duniawi serta kemewahannya. Pada beberapa ketika mereka bangkit daripada jatuh dan cuba menuju cahaya kebenaran, nafsu dan Iblis sedia menanti untuk menarik mereka kembali ke jalan kesesatan.

 

* diolah daripada artikel asal .

 

merenunglah dan bersyukurlah 7:45 AM


Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepada anda. Kerana nikmatNya telah meliputi dari hujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki, kesihatan badan, keamanan negara, hutan belantara, udara dan air, serta masih banyak lagi lainnya adalah nikmat yang telah diberikan Allah kepada anda. 

Sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya. (Ibrahim:34) 

Demikian besar nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepada anda. Dunia ini, beserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk anda, tetapi anda tidak pernah
menyedarinya;anda menguasai kehidupan, tetapi tidak pernah mengetahuinya.

Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik zahir mahupun yang batin. (Luqman:20) 


Anda telah diberi sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki. 

Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?(Ar-Rahman:13) 

Apakah anda mengira bahawa, berjalan dengan kedua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa, padahal masih banyak manusia lain yang tiada mempunyai kaki? Apakah anda mengira bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah, padahal masih banyak manusia lain yang kehilangan kedua betisnya? Apakah anda merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua mata, sementara masih banyak manusia lain yang tidak dapat tidur kerana sakit yang menanggungnya? 

Pernahkan anda merasa nista ketika anda dapat menjamu makanan yang lazat dan minuman yang sejuk, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanyak kerana penyakit yang mereka deritai? Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran, di mana Allah menjauhkan anda dari ketulian;penglihatan anda akan terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit anda yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis.




Perhatikanlah juga fungsi Otak Anda! Apakah anda ingin menggantikan mata anda dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah anda menjual pendengaran anda seharga perak satu bukit? Apakah anda mahu membeli istana-istanah yang menjulang tinggi dengan lidah anda, namun anda bisu? Apakah anda mahu menukar kedua tangan anda dengan butiran-butiran permata dan berian, tetapi tangan anda kudung? 

Anda sebenarnya telah meraup kenikmatan yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya anda tidak menyedarinya. Bahkan anda hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan, padahal anda masih memiliki roti yang segar untuk disantap, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan anda yang stabil. 

Anda seringkali memikirkan sesuatu yang telah hilang, sehingga anda lupa mensyukuri apa yang ada di hadapan anda. Anda merasa sedih kerana kekurangan material, padahal anda masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setompok kebaikan, kenikmatan, dan masih banyak yang lainnya. Oleh kerana itu, renungkanlah dan bersyukurlah! 

Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah.Apakah kalian tidak memperhatikannya? (Adz-Dzariyat:21) 

Lihatlah diri anda, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat, dan dunia sekeliling anda. 



Dan janganlah termasuk didalam golongan: Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.(An-Nahl:83)

berjihad dengan ilmu dan dakwah.. 6:56 AM

Sesungguhnya menuntut dan menyampaikan ilmu itu amat besar manfaatnya kepada individu dan masyarakat umat Islam. Menuntut ilmu agama bermula dari aqidah, fiqh, tafsir, akhlak, sehinggalah kepada pemahaman prinsip-prinsipnya yang tulen adalah merupakan suatu tuntutan yang amat besar lagi tinggi keutamaannya. 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ  

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
(Surah al-Mujadilah, 58: 11) 


Umar radhiyallahu ‘anhu berkata: 

“Ketahuilah bahawa Nabi kamu telah bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat sesuatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lainnya dengan Kitab Suci ini”.” 
(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim

Dari sini menunjukkan bahawa menuntut ilmu (mempelajari agama) itu adalah suatu keperluan yang besar yang perlu digalas dan dikuasai oleh setiap muslim. Ini adalah sebagaimana Allah memerintahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri supaya berdoa agar ditambahkan ilmu. 

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا 

“Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan penyampaiannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”. 
(Surah Thoha, 20: 114) 


Ayat ini adalah merupakan satu dalil yang sangat jelas yang menunjukkan berkenaan keutamaan ilmu. Kerana Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi-Nya agar meminta ditambahkan ilmu. 

Di antara sebab-sebab keutamaannya adalah kerana dengan ilmu, manusia mampu mengenal Allah. Dengan ilmu, manusia akan mengerti tujuan sebuah kehidupan. Dengan ilmu, manusia akan mengerti pentingnya konsep uluhiyah dan ubudiyah terhadap Tuhannya. Dengan ilmu, pendirian manusia boleh sama ada berubah atau semakin teguh. Dengan ilmu, manusia mampu memahami agama dari asasnya sehingga ke cabang-cabangnya. Dengan ilmu jugalah, umat Islam akan mampu beramal dengan sempurna. Dengan ilmu juga umat Islam akan memahami perintah dan pesanan Nabi serta para ulamanya. 

Di atas kesan-kesan tersebut, manusia menjadi tunduk disebabkan dia mengenal betapa rendahnya diri di hadapan Tuhannya. 

Oleh kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ  

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).” 
(Surah Fathir, 35: 28) 


Dengan sikap itu juga, umat Islam akan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke suatu darjat yang tinggi berbanding dengan kaum yang selainnya. 

“...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 
(Surah al-Mujadilah, 58: 11) 


Orang-orang yang berilmu adalah mereka yang mampu menghadapi kepelbagaian bentuk ujian, rintangan, musibah, serangan, dan syubhat yang mendatang dengan sikap yang penuh tenang dan sabar. Dengan ilmu yang mereka kuasai, mereka mampu untuk membezakan kepelbagaian bentuk permasalahan yang muncul yang sekaligus mampu menentukan pendirian (sikap) dan jalan keluar yang tepat buat dirinya dan orang lain. Ini adalah sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala singkapkan berkenaan peristiwa yang terjadi ke atas Qarun:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (٧٩)وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلا يُلَقَّاهَا إِلا الصَّابِرُونَ  

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”. 
(Surah al-Qasas, 28: 79-80) 

Allah juga turut menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisa hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi. 

وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلا الْعَالِمُونَ 

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.” 
(Surah al-Ankabut, 29: 43) 

Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam akan pergi berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan mampu memberi sesuatu kepada yang lain, malah Islam itu sendiri tidak akan mampu ditegakkan jika tidak dibawa dengan ilmu. Inilah di antara apa yang ditunjukkan melalui Surah al-Furqon, di ayatnya yang ke-51 dan 52. 

Ini jugalah sebagaimana apa yang dimaksudkan oleh para ulama, di antaranya imam Ibnul Qayyim rahimahullah yang telah menjelaskan bahawa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu termasuk berjihad di jalan Allah. Ini adalah berdasarkan perkataan beliau yang terkandung di dalam kitabnya, 
Miftahu Daris Sa’adah

“Menuntut ilmu disebutkan juga sebagai jihad fi sabilillah kerana dengannya agama Islam ini akan ditegakkan, sebagaimana juga agama Islam yang ditegakkan melalui medan peperangan. Jadi, Islam itu ditegakkan dengan ilmu dan peperangan. 

Dengan itulah, jihad ada dua jenis: 

Pertama: 
Jihad dengan tangan dan senjata. Jihad jenis ini semua orang mampu turut serta di dalamnya. 

Kedua: 
Jihad dengan hujjah dan bayan (ilmu). Jihad jenis ini merupakan jihad dari kalangan orang-orang yang khusus iaitu dari kalangan ulama. Ini merupakan jihad yang hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang menguasai ilmu. Dan jihad kedua ini lebih utama daripada jihad yang pertama. Ini adalah disebabkan oleh betapa besarnya manfaat, tinggi risikonya, dan sangat banyak musuh-musuh yang akan dihadapinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Furqon di mana surah ini adalah surah Makkiyyah:

وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ نَذِيرًا (٥١)فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا 

“Dan sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami utus kepada setiap negeri seorang pemberi peringatan (rasul), maka janganlah kamu taati orang-orang kafir dan berjihadlah melawan mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.” 
(Surah al-Furqon, 25: 51-52)


Malah jika kita teliti pengertian jihad itu sendiri, iaitu menurut apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari dan Ibnu Manzur rahimahullah di dalam Lisanul Arab, ia sebenarnya mencakupi perbuatan menegakkan hujah (dengan perkataan atau lisan) terhadap orang-orang kafir dengan cara mendakwahi, menyerang, dan menahan (menangkis hujah) mereka dengan bersungguh-sungguh serta dengan sepenuh tenaga dan usaha. Dengan ini juga bermaksud, jihad itu tidaklah terhad hanya sekadar turun di medan perperangan, tetapi juga adalah dengan penegakkan hujah-hujah ilmiyah kepada kaum yang tidak mengerti dan ingkar. 

Berdasarkan surah al-Furqon ayat 51-52 tadi juga sebenarnya ia turut menjelaskan sejak awal-awal lagi bahawa Allah memerintahkan supaya tidak mentaati orang-orang kafir dan supaya berjihad terhadap mereka. Maka, jelaslah di sini bahawa pada fasa tersebut, orang-orang kafir tidak diperangi melainkan dengan hujah, bayan, dan menyampaikan isi kandungan al-Qur’an itu sendiri dan bukanlah dengan pedang mahu pun ketenteraan semata-mata. 

Demikianlah juga dengan persoalan orang-orang munafik yang duduk hidup di bawah kekuasaan umat Islam yang mana Allah turut memerintahkan dengan kalimah jihad kepada umat Islam ke atas mereka. 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ 

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.” 
(Surah at-Taubah, 9: 73) 

Ini adalah sepertimana yang diketahui bahawa orang-orang munafik itu tidak diperangi dengan pedang, dan mereka juga tidak memerangi umat Islam dengan ketenteraan. Tetapi, mereka (orang-orang munafik) diperangi di atas nama jihad dengan menegakkan hujah-hujah ilmiyah dari al-Qur’an dan perkataan Nabi-Nya. 

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah turut menegaskan di dalam kitabnya yang lain, 
I’lam al-Muwaqqi’in bahawa ketaatan kepada umara’ (pemimpin) itu adalah mengikuti ketaatan kepada ulama. Maka, menuntut ilmu dan mempelajarinya adalah termasuk jihad di atas jalan Allah. 

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata bahawa, 

“Sesiapa yang mengatakan bahawa pergi berulang-alik mencari ilmu itu bukan sebahagian dari jihad, maka sesungguhnya akal dan fikirannya telah lemah.” 
(Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr) 


Begitulah dia sebuah hakikat yang kian dipandang remeh, padahal ia adalah sebuah tuntutan besar bagi setiap manusia dari kalangan umat Islam. Menuntut ilmu dari ilmu-ilmu agama semenjak zaman-berzaman sehinggalah ke masa ini bukanlah sebuah usaha yang boleh ditinggalkan, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang dengannya umat Islam akan berjihad menegakkan Tauhid bermula dari dalam diri masing-masing sehinggalah ke setinggi-tinggi kemampuan ke atas segenap manusia umumnya. 

Semoga kesarjanaan ilmu di dalam bidang agama ini mampu ditegakkan dan kembali dipandang tinggi oleh umat Islam seluruhnya. Hanya dengan ilmu umat Islam akan kembali dimuliakan, dan dengan ilmu itu jugalah umat Islam bakal kembali berjihad dengan sebesar-besar jihad. 

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: 

“Sungguh aku mengetahui (menguasai) satu bab dari sesuatu ilmu itu sama ada berkenaan perintah atau pun larangan, ia adalah lebih aku sukai berbanding dengan 70 kali pertempuran di medan jihad.”


sumber www.an-nawawi.blogspot.com

GLOSARI:
1)Dalil: Keterangan(yang menjadi bukti sesuatu kebenaran terutamanya ayat-ayat Al-Quran)
2)Jihad: i)Usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredhai Allah.
ii)Perang untuk mempertahankan Islam.
3)Munafik: Orang yang pada zahirnya mengakui keesaan Allah dan kerasulan Muhammad tetapi tidak beriman
4)Tauhid: Mengakui bahawa Tuhan itu Esa.